Syarikat kami (Green Legacy Enterprise) telah mendapat kepercayaan pihak KEJORA (Kemajuan Johor Tenggara) untuk membina set fertigasi dan membimbing peserta di perkampungan Projek Perkampungan Keluarga Termiskin (PPRT) di bawah naungan KEJORA di Punggai, Pengerang, Johor. Kami telah membina struktur lindungan hujan dari besi G.I (19' X 100') siap dengan sistem pengairan, media, benih, baja dan tunjuk ajar secara intensif kepada keluarga yang terlibat dengan projek ini iaitu keluarga Pak Lah. Selain dari itu, banyak juga projek lain yang dilaksanakan diperkampungan ini (yang menempatkan 30 buah keluarga termiskin) termasuklah ternakan burung puyuh. Pada peringkat permulaan, banyak cabaran yang dihadapi untuk menjayakan projek di Pungai ini. Bayangkan, baru saja struktur lindungan hujan dibina, dalam masa tak sampai sebulan, roboh semuanya kerana dilanda angin ribut yang sangat kuat. Namun ianya dibina kembali dengan bahan yang baru kerana struktur besi yang terdahulu telah bengkok dan patah semuanya. Kami komited untuk membantu sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial di samping menyalurkan pengetahuan dan pengalaman yang sedikit ini supaya diberkati oleh Ilahi. Harap doakan kejayaan kami dan keluarga yang terlibat.
No comments:
Post a Comment